Keturunan Charles de Gaulle

Dilahirkan di Lille, Charles de Gaulle merupakan anak ketiga kepada sebuah keluarga Roman Katolik yang konservatif. Beliau dibesarkan di Paris, dan dididik di Kolej Stanislas di sana, serta kemudiannya di Belgium.

Keluarga sebelah ayahnya merupakan golongan bangsawan dari Normandy dan Burgundy yang telah menetap di Paris selama lebih kurang satu abad, manakala keluarga sebelah ibunya merupakan usahawan-usahawan yang kaya dari kawasan perindustrian Lille di Flanders Perancis.

Datuk De Gaulle ahli sejarah, manakala neneknya penulis. Ayahnya merupakan seorang profesor di sekolah-sekolah Roman Katolik swasta yang kemudian menubuhkan sekolah swasta sendiri. Perdebatan-perdebatan politik sering diadakan di rumah dan sejak masa awal, de Gaulle telah didedahkan kepada pengarang-pengarang konservatisme yang utama. Keluarganya amat patriotik, dan beliau dibesarkan dalam kultus Negara (de Gaulle menulis dalam kisah kenangannya bahawa "ibuku berasa keghairahan yang tidak ada kompromi terhadap tanah airnya yang setanding dengan kewarakannya").

Nama de

"de" dalam "de Gaulle" bukannya partikel bangsawan, walaupun keluarga de Gaulle merupakan keluarga bangsawan kesatria yang kuno. Nenek moyang terawal de Gaulle yang diketahui ialah seorang tuan tanah utama pada abad ke-12 di bawah Raja Philip Augustus.

Nama "de Gaulle" dianggap berasal daripada bahasa Germanik, "De Walle," yang bermaksud "dinding." Kebanyakan orang bangsawan Perancis yang lama merupakan keturunan Germanik dan sering menggunakan nama Germanik. Walaupun bukan partikel bangsawan sebenarnya, "de" dalam "de Gaulle" telah ditulis dengan huruf kecil d sejak berabad-abad lagi.